Musim perayaan kembali lagi! Pastinya kali ini ianya cukup bermakna kerana rakyat Malaysia sudahpun dibenarkan merentas negeri melancong dan ‘balik kampung’ melawat keluarga tersayang dan rakan-rakan sejak bermulanya pelbagai sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa sejak hampir dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19. Sebagai rakyat Malaysia sejati, hidangan makanan yang lazat pastinya dinanti-nantikan sewaktu melancong atau dalam perjalanan ‘balik kampung’.
Walau bagaimanapun, musim perayaan yang pastinya akan terdapat pelbagai jenis hidangan makanan ini mungkin merupakan suatu masa yang sukar bagi penghidap diabetes. Bagaimana pesakit diabetes dan penjaga dapat membantu mereka menikmati kemeriahan cuti perayaan dan pada masa yang sama mengawal tahap gula darah darah yang sihat?
Pemakanan yang sihat tidak bermakna anda hanya menjamah salad hijau manakala yang lain menjamu ayam belanda atau nasi beriani. Anda masih boleh menikmatinya tetapi dengan amalan pengambilan makanan bijak. “Kembali kepada asas dan ikuti panduan Pinggan Sihat Malaysia (Malaysian Healthy Plate) yang menyarankan pengambilan bahagian yang sihat iaitu #SukuSukuSeparuh – karbohidrat (suku pinggan), protin (suku pinggan), buah-buahan dan sayur-sayuran (separuh pinggan),” nasihat Cik Poh Kai Ling, Pakar Pemakanan Klinikal dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Ia adalah panduan pemakanan sihat yang terbaik tetapi sering kali dianggap remeh. “Apabila berbicara mengenai pemantauan tahap gula dalam darah anda, matlamatnya adalah untuk mengamalkan pengambilan hidangan sihat dan seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan sambil mempraktikkan bahagian sihat mengikut Pinggan Sihat Malaysia. Kesederhanaan dan saiz hidangan adalah faktor utama. Anda boleh menjamah apa saja karbohidrat asalkan dalam saiz hidangan yang betul dan sederhana,” tambah Cik Poh.
Dalam diet Malaysia, karbohidrat seperti nasi, roti, tosai atau mee semuanya bersifat serupa dan boleh ditukar gantikan. Sumber karbohidrat pilihan adalah daripada produk bijirin penuh, buah-buahan, produk tenusu rendah lemak dan kekacang. Karbohidrat daripada minuman dan makanan manis bergula seperti gula putih, gula merah, madu, gula Melaka, susu pekat dan jem haruslah dihadkan.
Akhirnya, saiz bahagian makanan adalah paling penting, tidak kira jenis karbohidrat yang diambil. Karbohidrat yang mencukupi harus disertakan dalam diet harian anda untuk mengelakkan hipoglisemia. “Pengambilan lebih banyak serat dan makanan rendah Indeks Glisemik dapat membantu pesakit diabetes. Sebagai contoh, jika anda mampu, pilihlah beras perang yang tinggi serat berbanding beras putih. Ini boleh membantu dalam memperlahankan penyerapan gula dan membantu menambah baik paras gula dalam darah,” kongsi Cik Poh.
Kesilapan yang biasa dilakukan oleh pesakit diabetes ialah mengabaikan waktu makan mereka. Ini biasanya berlaku apabila mereka tidak menjamah sebarang hidangan sebelum keluar berjalan-jalan dan beranggapan ia dapat mengawal paras gula dalam darah mereka. Ini tidak betul. Mengabaikan waktu makan boleh memberikan kesan negatif terhadap paras glukosa darah dan adakalanya mampu menyebabkan hipoglisemia atau paras gula dalam darah rendah apabila dicampurkan dengan ubat diabetes atau insulin tertentu, yang mungkin akan menyebabkan kesan yang lebih teruk.
Pesakit diabetes jenis dua, 80 tahun, Encik Subramaniam A/L Kalimuthu berkongsi bahawa apabila dia mula-mula mengetahui dia menghidap diabetes 30 tahun lalu, salah satu perubahan gaya hidup yang mencabar selain diet ialah mengubah corak tidurnya. "Saya sudah biasa tidur lewat dan saya sedar bahawa adalah penting untuk mengekalkan jadual tidur yang tetap dan mencukupi."
Tidur memainkan peranan penting dalam mengekalkan paras gula dalam darah yang sihat. Apabila anda mendapatkan tidur yang mencukupi, mungkin lebih mudah untuk mengawal gula dalam darah anda. Oleh itu, dengan acara kenduri dan keraian yang bakal tiba, elakkan makan makanan berat sebelum tidur. Dan pengambilan alkohol atau kafein pada waktu tengah malam juga adalah dilarang sama sekali!
Encik Ghazali Baharum, pesakit diabetes jenis dua berkata salah satu amalan terbaiknya adalah selalu memeriksa paras gula dalam darah, dua jam selepas waktu makan agar anda mengetahui keadaan anda. Encik Ghazali seringkali membawa kit ujian dan insulin bersama ke mana saja dia pergi, terutamanya ketika melancong.
Prof Madya Dr Jeyakantha Ratnasingam, Perunding Endokrinologi & Ketua Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur berkata, “Banyak melakukan aktiviti fizikal dan pengurangan berat badan adalah penting untuk penghidap diabetes. Tempoh keseluruhan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, atau sekurang-kurangnya 30 minit setiap kali, beberapa hari dalam seminggu adalah disyorkan.”
Walau bagaimanapun, jenis dan tempoh aktiviti fizikal atau senaman hendaklah dibuat secara individu dan sebaiknya disertakan dalam kehidupan seharian mereka. Amalan Encik Subramaniam seperti membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah malah memarkirkan keretanya lebih jauh apabila keluar berjalan-jalan adalah antara aktiviti fizikal yang dilakukan dalam rutin hariannya. Selain itu, Encik Ghazali pula berjalan pada waktu pagi di sekitar perkarangan rumahnya.
“Berita baik paling ketara bila berlakunya penurunan berat badan ialah ia dapat membantu meningkatkan kawalan glukosa, seterusnya pengurangan atau pemberhentian pengambilan ubat yang berterusan. Penurunan berat badan yang ketara lebih daripada 15% daripada berat badan asal, pada peringkat awal diabetes bermula sebenarnya dapat membantu pesakit diabetes mengurangkan kebergantungan terhadap ubat. Bagi individu yang berlebihan berat badan tetapi tidak menghidapi penyakit diabetes, penurunan berat badan dapat membantu dalam pencegahan diabetes sama sekali”, tambah Dr Jeya.
Kesimpulannya, diabetes adalah satu penyakit rumit dan mencabar bagi penghidapnya, terutama sekali dalam membuat beberapa keputusan berkaitan makanan, aktiviti fizikal dan ubat-ubatan harian. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, dianggarkan 18.3% (3.9 juta) daripada populasi dewasa di Malaysia kini menghidap diabetes. Ini bermaksud 1 daripada 5 orang di Malaysia menghidapi diabetes.
Apa yang membimbangkan dan perlu diberikan perhatian sewajarnya dari tinjauan tersebut ialah hanya 50% daripada 3.9 juta rakyat Malaysia mengetahui mereka menghidap diabetes sebelum kajian itu dilaksanakan. Kajian yang sama juga mendapati lebih 50% penduduk Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes. Dan lebih penting buat pesakit diabetes atau mereka yang berisiko mendapatkannya untuk sentiasa memantau pemakanan mereka dengan teliti terutama sekali sewaktu musim perayaan.
Dr Jeya mengingatkan rakyat Malaysia untuk membuat saringan secara berkala untuk diabetes, terutamanya jika mereka berisiko menghidapinya. “Individu yang berisiko termasuk mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, dengan hipertensi dan kolesterol tinggi, sejarah diabetes semasa hamil, obesiti abdomen (perut buncit), sejarah keluarga yang menghidap diabetes, sindrom ovari polikistik (PCOS) dan mereka yang menggunakan steroid. Melihat kepada senarai tersebut, khususnya mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes, menunjukkan hampir semua rakyat Malaysia harus disaring.”
Tambahnya, kebanyakan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes atau pra-diabetes, menganggap mereka sihat kerana diabetes kebiasaannya tidak bergejala. Oleh itu, adalah penting untuk membuat pemeriksaan secara berkala. Saringan adalah cara terbaik untuk mencegah diabetes dan komplikasinya.
Bagi menangani desakan keperluan dan jurang ini di Malaysia, dalam memastikan diri mereka dan orang tersayang kekal sihat, For Your Sweetheart Campaign menjemput semua rakyat Malaysia untuk menjalani Pemeriksaan Diabetes HbA1c PERCUMA di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara, terutamanya ketika musim perayaan ini. Laporan Pendaftaran Diabetes Kebangsaan 2013-2019 menunjukkan data yang membimbangkan di mana pesakit diabetes di Malaysia mengalami penyakit jantung.
Kesedaran dan pengetahuan sama ada seseorang itu menghidap diabetes atau berisiko menghidap diabetes adalah langkah pertama ke arah pengurusan komplikasi penyakit jantung berkaitan diabetes. Ini lebih penting apatah lagi ketika krisis Covid-19 yang melanda kerana penghidap diabetes juga berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan seterusnya membawa kepada kematian. Oleh itu, pengesanan awal, pencegahan dan rawatan adalah penting.
Ketika anda berseronok dan berkumpul bersama rakan dan keluarga ketika musim cuti sekolah ini, apa kata anda sediakan hidangan mesra diabetes untuk majlis potluck nanti? Jom lihat beberapa resipi yang sihat lagi menyelerakan di Simple. Healthy Cooking with Chef Nik.