Have you collected our free ebook yet?   Click here  to get a copy.
nasihat pakar
Diabetes Dan Anda, Kenali Punca, Elak Risiko

TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 1,999,450 rakyat di Malaysia menghidap penyakit diabetes.

Jumlah itu dilaporkan terus meningkat saban tahun, menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai rekod pesakit diabetes paling tinggi di Asia.

Bimbang dengan situasi itu, Program Bicara BH dikendalikan oleh moderator Fazilah Hani Harun pada 4 Oktober lalu, membincangkan mengenai topik Diabetes dan Anda, Kenali Punca, Elak Risiko.

Program berkenaan disiarkan secara maya sempena kempen For Your Sweetheart, dianjurkan oleh Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) dan Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES), serta disokong oleh Boehringer Ingelheim.

Tiada simptom ketara

Pakar Perunding Perubatan dan Ekdokrinologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Dr Noor Rafhati Adyani Abdullah, berkata lebih 50 peratus pesakit didiagnosis dengan diabetes tidak menunjukkan simptom ketara.

Justeru katanya, golongan yang berisiko mendapat diabetes seperti faktor genetik, gaya hidup dan obesiti perlu peka untuk melakukan saringan secara berkala.

"Antara tanda yang perlu diambil kira ialah pernah mengalami diabetes ketika mengandung, mempunyai masalah berat badan dengan Indeks Jisim Badan (BMI) lebih 23.

"Tanda lain seperti mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 80 sentimeter (cm) bagi wanita dan 90cm bagi lelaki, mempunyai masalah jantung, darah tinggi dan kolestrol perlu melakukan saringan," katanya ketika menjadi ahli panel program berkenaan.

Anak baru lahir berisiko

Pada masa sama, Dr Noor Rafhati turut menyatakan kebimbangan terhadap risiko peningkatan pesakit diabetes dalam kalangan remaja, kanak-kanak dan bayi baru lahir.

Beliau berkata, ibu mengandung yang menghidap diabetes boleh mewariskan penyakit itu kepada anak yang dilahirkan dengan kadar risiko tinggi sehingga 50 peratus dan risiko akan meningkat jika ibu dan bapa adalah penghidap.

Katanya, wanita mengandung yang mempunyai masalah diabetes sama ada mendapat penyakit itu sebelum berbadan dua, boleh memberikan kesan kepada bayi dalam rahim.

Katanya, ia boleh berlaku apabila kadar gula tinggi ibu disalurkan kepada bayi dalam kandungan disebabkan berkongsi saluran pendarahan.

"Kajian menunjukkan jika ibu atau bapa mempunyai diabetes jenis 2 (biasanya didiagnosis pada usia 30 tahun ke atas dan dikaitkan dengan berat badan berlebihan) menyebabkan 50 peratus risiko anak turut mempunyai penyakit sama.

"Namun, jika kedua-dua ibu bapa mempunyai diabetes jenis 2, risiko anak mendapatkannya adalah setinggi 70 peratus," katanya.

Kaitan masalah jantung, buah pinggang

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Patrick Tiau Wei Jyung yang turut menjadi ahli panel, mendedahkan bahawa pesakit diabetes berisiko menghidap masalah lebih serius iaitu penyakit jantung.

"Diabetes boleh merosakkan saraf dan saluran darah termasuk pada jantung dengan simptom sakit dada, susah bernafas yang tidak dirasai oleh pesakit.

"Keadaan ini selalunya menyebabkan mereka mungkin terlepas peluang untuk mendapat rawatan awal sebelum menjadi lebih serius, selain mengalami kelemahan jantung," katanya.

Ahli panel lain iaitu Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan, Hospital Lam Wah Ee Pulau Pinang, Dr Vijaya B Ramasamy, berkata selain masalah jantung, terdapat juga kajian lain yang menunjukkan sebanyak 57 peratus pesakit diabetes turut berisiko menghidap masalah buah pinggang.

Menurut Dr Vijaya, satu daripada dua pesakit diabetes dilaporkan mempunyai masalah buah pinggang.

“Justeru, orang ramai disaran mengenal pasti simptom seperti kandungan buih pada air kencing. Ia adalah petunjuk awal kewujudan protein dalam air kencing yang biasanya disebabkan oleh masalah pada buah pinggang.

“Dengan pengesanan awal, kita dapat membantu pesakit mengelakkan masalah lebih serius seperti kegagalan buah pinggang sehingga terpaksa menjalani dialisis atau pemindahan organ ginjal,” katanya.

Dr Patrick dan Dr Vijaya masing-masing berkongsi pandangan ketika menjadi ahli panel Program Bicara BH bertajuk Diabetes dan Anda, Kenali Punca, Elak Risiko.

Rawatan diabetes

Mengupas lanjut mengenai kaedah rawatan, Dr Noor Rafhati, berkata pesakit diabetes atau kencing manis perlu mengelak daripada terperangkap dalam momokan stigma masyarakat kononnya penyakit itu tiada penyembuh.

“Sebagai contoh dua kaedah rawatan boleh membantu pemulihan diabetes iaitu dengan mengurangkan berat badan sama ada secara pengurangan kalori atau melalui pembedahan pengecilan usus.

"Di United Kingdom, kajian dilakukan di klinik kesihatan mendapati 46 peratus daripada pesakit yang mengamalkan kalori daripada makanan berasaskan susu, berjaya sembuh daripada diabetes.

"Begitu juga dengan pembedahan (pengecilan usus), di mana sebilangan besar peratusan pesakit yang mengurangkan berat badan hilang diabetesnya.

"Justeru, ia (dua kaedah rawatan ini) boleh dijadikan motivasi oleh pesakit. Jadi tidak bolehlah salahkan faktor genetik semata-mata kerana dengan amalan hidup sihat dan rawatan, diabetes boleh kembali pulih," katanya.

Bantu kurangkan komplikasi

Ditanya mengenai ubat untuk diabetes, Dr Vijaya menyatakan kemajuan teknologi perubatan hasil penyelidikan berterusan, memberi peluang lebih cerah kepada pesakit diabetes untuk mengawal komplikasi yang disebabkan penyakit itu.

Katanya, kemunculan ubat-ubatan dalam kelas inhibitor atau perencat SGLT2 (Sodium-Glucose Co-Transporter 2) mampu mengawal diabetes daripada mengundang komplikasi lain, sekali gus membantu menyelamatkan nyawa pesakit diabetes.

Beliau berkata, kajian mengenai ubat kelas terbabit dilaksanakan sejak 2015 boleh membantu memperlahankan kesan komplikasi lain akibat diabetes.

Katanya, ia termasuk memperlahan atau mengurangkan kemerosotan serta kegagalan buah pinggang, kegagalan jantung dan lebih penting menyebabkan kematian.

"Dalam lima atau enam tahun kebelakangan ini, dunia dikejutkan dengan ubat-ubatan hasil kajian demi kajian yang dilakukan sejak 2015. Potensi ubat-ubatan itu yang boleh mengurangkan atau memperlahankan komplikasi tidak pernah didapati dalam ubat sedia ada.

"Justeru, masa depan pesakit diabetes dijangka tidak segelap dahulu sekiranya ubat-ubatan itu boleh dikembangkan dengan awal," katanya.

Dr Vijaya berkata, pengambilan ubat-ubatan ini bagaimanapun hanya dibuat atas nasihat pakar kerana kosnya agak tinggi, selain kekurangan pengalaman daripada doktor berikutan ia masih baharu.

Dr Patrick pula menyifatkan, kewujudan ubat-ubatan terbabit boleh meringankan tanda kelemahan jantung, sekali gus menurunkan risiko kemasukan ke hospital akibat kelemahan dan kegagalan jantung.

Produk alternatif membimbangkan

Sementara itu, kewujudan pelbagai produk alternatif dengan dakwaan mampu menyembuhkan diabetes masih tidak disokong sepenuhnya oleh bukti saintifik sangat membimbangkan.

Dr Patrick, berkata penting bagi pesakit merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil produk alternatif.

Beliau berkata, pengambilan produk alternatif dikhuatiri berisiko menyebabkan kelemahan dan kegagalan buah pinggang serta fungsi hati.

"Pandangan saya produk seperti itu kekurangan bukti saintifik dan kita tidak tahu kesannya kepada badan kita. Apa yang lebih penting ialah kesan produk itu kepada ubat-ubatan yang diberikan doktor," katanya.

Lebih membimbangkan, Dr Patrick berkata, ada keadaan lebih buruk di mana terdapat pesakit berhenti mengambil ubat-ubatan di hospital selepas bergantung kepada produk alternatif.

Katanya, tindakan itu amat berisiko kepada pesakit diabetes kerana ia boleh menyebabkan terjadi komplikasi lain.

Berkongsi pendapat sama, Dr Vijaya B Ramasamy, menyatakan bahawa kewujudan produk alternatif dikhuatiri berisiko mengeksploitasi pesakit diabetes yang terdesak untuk pulih segera.

"Sebahagian besar produk ini tiada kajian saintifik, malah ada yang tidak diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan lebih menakutkan, ia boleh diperoleh sesiapa saja tanpa pemantauan.

"Ia kadangkala lebih memburukkan lagi keadaan bukan sahaja kepada buah pinggang, malah kepada hati juga," katanya.

Beliau berkata, pesakit diabetes perlu mengelakkan diri daripada dieksploitasi mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan mendapatkan pandangan doktor.

"Kadangkala apabila kita putuskan pesakit itu perlu didialisis, mereka rasa terdesak dan akan buat apa sahaja, sekali gus senang dieksploitasi oleh orang sekeliling.

"Ada yang diperkenalkan dengan produk alternatif dengan harga tinggi sehingga cecah ribuan ringgit, di mana situasi ini tidak betul kerana mengambil keuntungan dalam kesakitan orang lain," katanya.

Pemeriksaan percuma

Sempena Hari Jantung Sedunia 2021, kempen For Your Sweetheart mengajak seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang menghidap diabetes untuk lebih peka mengenai kaitan antara diabetes dengan penyakit kardiovaskular.

Kempen ini juga bertujuan untuk menekankan kepentingan kepada pesakit diabetes untuk menjaga kesihatan jantung mereka sekali gus memahami risiko penyakit kardiovaskular.

Justeru, elakkan berdiam diri sebaliknya ambil inisiatif untuk mendapatkan nasihat doktor mengenai langkah bagi melindungi dan mencegah penyakit jantung.

Paling penting, jangan lupa untuk melakukan pemeriksaan diabetes secara berkala demi kebaikan kita bersama.

Menerusi kempen For Your Sweetheart, rakyat Malaysia dijemput untuk membuat pemeriksaan secara percuma dengan klik butang di bawah.

Artikel Lain
Anda Mungkin Berminat